Selasa, 11 Oktober 2016

Manfaat Simpanan Emas

[kemaskini 16 ogos 2017] Ramai yang tanya saya, kalau beli sekian-sekian gram kalau jual balik berapa dapat untung. Bagi saya, beli emas bukan sekadar beli harga rendah jual harga tinggi. Kita tak nafikan salah satu manfaat emas ialah menjana keuntungan.

Seperti kata guru emas saya tuan Syukor Hashim. Untuk untung dalam simpanan emas, paling kurang simpan 1 tahun ke atas. Emas merupakan simpanan jangka sederhana dan jangka panjang. Emas tak sesuai untuk simpanan jangka pendek. Jika nak pakai duit kurang daripada 1 tahun, elok dana itu disimpan dalam bentuk tunai.

Sebagai pelabur dan penyimpan emas, manfaat emas bukan sekadar itu sahaja. Banyak lagi manfaat emas yang boleh kita peroleh daripada sekadar memegang falsafah beli harga rendah, jual harga tinggi.

#1 Penyelamat Daripada Inflasi

Simpan wang kertas sebagai harta kekayaan bukanlah jalan yang terbaik, kerana wang kertas sering mengalami penyusutan nilai. Contoh mudah ialah Jika dahulu RM100 boleh membeli bermacam-macam barang. Sekarang 2016 nilai sekeping wang kertas RM100 sudah tak mampu membeli kuantiti barang yang sama seperti tahun 1996
.
Jika dahulu saya, RM 1 cukup untuk belanja sekolah. Beli makanan dan air. Sekarang saya lihat, nilai RM 1 dah tak mampu membeli seperti mana saya dahulu. Dari situ kita boleh lihat bagaimana nilai wang mengalami penyusutan disebabkan inflasi

#2 Menutup Kebocoran Wang

Sudah menjadi kebiasaan kita apabila ada duit akal kita panjang nak beli itu ini. Duit tak ada emosi, sebalik pemilik duit yang ada emosi. Contoh terbaik apabila dapat durian runtuh, bonus, atau sebagainya. Belum dapat, akal kita dah fikir beli itu ini. Bagi merawat penyakit kebocoran wang ini. Tukarkan duit tersebut dengan emas, sama ada dinar atau gold bar.

#3 Simpanan Pendidikan

Tidak dinafikan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak semakin meningkat dari tahun ke tahun. Bermula dari tadika hinggalah universiti. Pelbagai yuran perlu dibayar. Dalam erti kata lainnya, perbelanjaan semakin mahal. Ditambahkan pula, nilai wang semakin mengecil. 

Dalam situasi ini, emas boleh digunakan sebagai tabung simpanan pendidikan kerana nilai emas sentiasa stabil berbanding nilai wang kertas. Ini tidak bermakna harga emas tiada turun naik harga. Ada. Tetapi kenaikan dan penurunan harga emas tidak begitu ketara berbanding nilai turun dan naik wang kertas.

Contoh:
1 gram x 12 bulan x 18 tahun = 216 gram
Sekiranya harga semasa emas: RM 182 = RM 39,312

#4 Simpanan Dana Kecemasan

Emas boleh digunakan sebagai dana simpanan kecemasan sekiranya mengalami hal-hal kecemasan. Tetapi saya lebih mengesyorkan simpanan kecemasan ini disimpan dalam bentuk wang tunai, kerana jika berlaku hal-hal kecemasan, biasanya kita memerlukan wang dengan segera.
Sesetengah orang tak boleh simpan duit tunai, asal ada duit pasti nak korek buat belanja. Jika begini keadaannya. Saya syorkan agar emas jadi pilihan untuk dijadikan simpanan kecemasan.

#5 Dana Belanja Hangus

Emas juga boleh dijadikan dana belanja hangus. Sebagai contoh jika pergi melancong dan bimbang bawa duit banyak, emas boleh digantikan sebagai belanja hangus sekiranya memerlukan duit tambahan atau kehabiasan tunai. Biasanya emas yang hendak dijadikan dana belanja hangus ini akan disimpan di dalam dompet dan boleh dijual di kedai-kedai emas di negara berkenaan dengan nilai wang negara tersebut.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan