Ahad, 15 Januari 2017

Kerugian Pelaburan Melalui Barang Kemas

Jika kita imbau kenangan datuk nenek kita dahulu, malah zaman kita kecil. Sering kita lihat orang tua-tua kita memakai barang kemas terutama ke majlis-majlis keramaian atau perkahwinan. Pemakaian barang kemas pada zaman dahulu mungkin tidak lebih untuk perhiasan. Tetapi jika orang tua kita dalam keadaan terdesak, barang kemas itulah yang jadikan cagaran.

Sekarang pun, saya lihat begitu, jika suami ada masalah kewangan, barang kemas isterilah menjadi mangsanya.  Ini bermakna barang kemas sentiasa bernilai dari dahulu sampai sekarang.

Jika orang tanya saya, untung atau tidak barang kemas dijadikan aset pelaburan. Saya akan jawab tak untung kerana barang kemas dibuat sebenarnya hanya untuk perhiasan untuk kaum wanita bukan untuk pelaburan. Azizi Ali dalam bukunya juga turut tidak mengesyorkan barang kemas sebagai pelaburan.

1. Kandungan Emas
Memandangkan emas tulen sebenarnya lembut. Emas yang dijadikan barang kemas telah dicampurkan dengan logam lain seperti perak dan tembaga. Fungsinya supaya barang kemas itu lebih keras. Jadi, kandungan emas yang rendah ini menjadikan barang kemas itu kurang bernilai dari perspektif pelaburan.

2. Kos Upah
Kos upah inilah menyebabkan sesuatu barang kemas itu menjadi mahal. Semakin cantik reka bentuk yang ingin kita beli, semakin tinggi kos upahnya. Kos upah ini boleh di manipulasi oleh pekedai. Mereka boleh meletak harga kos upah sesuka hati untuk memaksimumkan keuntungan mereka.

3. Spread Harga Tinggi
Spread harga barang kemas untuk dijual semula antara 25-30% berbanding gold bar/dinar 8-10% (Public Gold), menjadikan barang kemas tidak berbaloi untuk dijadikan instrumen pelaburan. Kita kerugian besar dengan spread harga yang terlalu tinggi.

4. Risiko Barang Kemas Rosak
Risiko besar barang kemas rosak sememangnya ada, patah atau terputus. Sekiranya rosak, barang kemas itu kurang bernilai. Jika ada pekedai membeli sekali pun, dengan harga yang sangat rendah. Ada juga pekedai hanya benarkan kita hanya tukar emas dengan emas. Sangat rugi di situ.

Boleh saya katakan, barang kemas bukanlah instrumen yang balik untuk dijadikan aset pelaburan. Sekiranya membeli barang kemas, anggaplah sebagai hadiah kepada yang tersayang.  Saya syorkan untuk jadikan aset pelaburan, beli gold bar atau dinar. Yang terbaik setakat ini ialah Syiling Kijang Emas dan Public Gold

kredit gambar: http://www.hargaemas.com.my/


16 Januari 2017

Kuching, Sarawak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan