Isnin, 17 Julai 2017

Public Gold Terima Sijil Patuh Syariah Fasa 1

16 Disember 2016 Public Gold telah selamat menerima sijil patuh syariah fasa pertama daripada Amanie Advisor Sdn. Bhd.(Amanie Advisor) untuk urusan jual beli emas yang melibatkan:

    #1 Belian Biasa (Bayar Terus),
   #2 Belian Biasa Dengan Bayaran Ansuran secara EPP  (Easy Payment Purchase) dan
    #3 Jual Balik Emas.

Sidang media pengumuman penerimaan sijil patuh syariah ini telah di adakan pada 8 Februari 2017 di ibu pejabat Public Gold Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dalam sidang media ini turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie Advisor, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar.

Untuk fasa seterusnya akan melibatkan Gold Accmulation Program (GAP), platform membeli belah menggunakan emas yang dinamakan “PG Mall”, dan sistem pembayaran menggunakan emas yang dinamakan “Gold Payment System (GPS)”.

Proses pengesahan syariah ini bukanlah proses yang bersifat sehala, ia proses yang berpanjangan dan melibatkan proses audit secara berkala. 



Latar Belakang Amanie Advisor Sdn. Bhd

Untuk makluman, Amanie Advisors Sdn. Bhd. merupakan  sebuah konsultan syariah yang berperanan penting dalam menyediakan standard syariah emas bagi World Gold Council (WGC) dan AAOIFI. Dato’ Dr. Mohd Daud Bakar  juga  merupakan Pengerusi Syariah Advisory Council (SAC) untuk BankNegara Malaysia (BNM).

Perjalanan Public Gold  Mendapat Sijil Patuh Syariah

4 Februari 2016 : Amanie Advisors telah berkunjung ke pejabat Public Gold di Bayan Lepas Pulau Pinang.

Ogos 2017: Amanie Advisors telah dilantik oleh Public Gold Marketing untuk menilai 3 produk Public Gold untuk tujuan pengesahan pematuhan Syariah. (1) Belian Biasa (Bayar Terus), Belian Biasa Bayaran Secara Ansuran (EPP), dan Jual Balik Emas.

16 Disember 2016:  Pihak Amanie setelah membuat beberapa pemerhatian dan penambahbaikan, dan telah mengeluarkan pengesahan kepatuhan Syariah kepada 3 produk ini.

8 Februari 2017: Sidang media tentang pengesahan kepatuhan Syariah ini telah dibuat di pejabat Public Gold di Bayan Lepas Pulau Pinang.

Penjelasan Patuh Syariah Oleh Ustaz Khairul Anuar Basri

Bagi memahami bagaimana proses jual beli Public Gold dari perspektif syariah, sahabat-sahabat boleh membaca penjelasan yang dibuat oleh pakar muamalat Islam, iaitu Ustaz Khairul Anuar Basri;
“Public Gold telah menerima pengesahan patuh Syariah dari Penasihat Syariah yang dilantik iaitu Amanie Advisors Sdn. Bhd. bagi 3 produk iaitu :

1.         Belian biasa dengan bayaran penuh (Outright Purchase).
2.         Belian biasa dengan bayaran berperingkat (Easy Payment Purchase EPP).
3.         Jualan balik (Buy Back).

Suka untuk saya menulis sesuatu berkaitan 3 produk di atas khususnya untuk warga Public Gold (kakitangan, dealer dan pelanggan) dan juga masyarakat Malaysia secara amnya agar semua orang boleh memahami pengesahan Syariah ini dan bercakap dalam bahasa yang sama.

Semua orang sedia maklum bahawa antara syarat asas bagi urusan jual beli emas ialah emas dan bayaran mesti bertukar secara LANI (spot) ketika MAJLIS AKAD. Sebarang penangguhan salah satu daripadanya akan mencetus isu riba (tidak patuh Syariah).

Tidak sukar sebenarnya untuk mengesan sesuatu urus niaga jual beli emas itu ada mengandungi unsur penangguhan atau tidak. Tetapi isu yang lebih penting sebenarnya ialah; bila dan di mana sebenarnya berlakunya akad jual beli emas supaya dapat dipastikan sebarang bentuk penangguhan itu tidak berlaku.

Untuk menjawab persoalan ini, kita memerlukan situasi yang khusus seperti 3 produk di atas kerana sesuatu hukum hakam agama itu bergantung kepada situasi dan kes tertentu serta sudut pandang bagaimana kita melihat sesuatu urus niaga itu dijalankan.

BELIAN BIASA DENGAN BAYARAN PENUH

Proses utama dalam produk ini ialah :

1. Kunci harga : Ketika ini akad belum berlaku. Ia hanyalah janji pembeli untuk membeli emas tertentu pada harga tertentu.

2. Pembayaran : Ketika ini juga akad belum berlaku. Ia hanyalah bayaran deposit keselamatan (security deposit) sebagai menandakan komitmen pembeli terhadap urus niaga tersebut.

3. Pengambilan emas : Ketika ini barulah berlaku akad jual beli. Emas akan bertukar dengan bayaran (yang pada awalnya hanya sekadar deposit keselamatan) secara lani. Jadi tiada lagi isu penangguhan dalam jual beli emas.

BELIAN BIASA DENGAN BAYARAN SECARA BERPERINGKAT (EPP)

Proses utama dalam produk ini ialah :

1. Kunci harga : Ketika ini akad belum berlaku. Ia hanyalah janji pembeli untuk membeli emas tertentu pada harga tertentu.

2. Pembayaran secara berperingkat : Ketika ini juga akad belum berlaku dan emas kekal menjadi milik Public Gold. Ia hanyalah bayaran deposit keselamatan (security deposit) sebagai menandakan komitmen pembeli terhadap urus niaga tersebut.

3. Pengambilan emas : Emas hanya boleh diambil apabila selesai semua proses pembayaran. Ketika ini barulah berlaku akad jual beli. Emas akan bertukar dengan bayaran berperingkat (yang pada awalnya hanya sekadar deposit keselamatan) secara lani. Jadi tiada lagi isu penangguhan dalam jual beli emas.

JUALAN BALIK (BUY BACK)

Proses utama dalam produk ini ialah:

1. Kunci harga : Ketika ini akad belum berlaku. Ia hanyalah janji pembeli untuk menjual emas tertentu pada harga tertentu.

2. Penyerahan emas : Ketika ini juga akad belum berlaku. Ia hanyalah penyerahan deposit keselamatan (security deposit) dalam bentuk emas sebagai menandakan komitmen penjual terhadap urus niaga tersebut.

3. Pembayaran melalui pindahan wang ke akaun : Ketika ini barulah berlaku akad jual beli. Bayaran akan bertukar dengan emas (yang pada awalnya hanya sekadar deposit keselamatan) secara lani. Jadi tiada lagi isu penangguhan dalam jual beli emas.”

Semoga catatan Ustaz Khairul Anuar ini akan memahamkan kita semua tentang urusniaga jual beli emas di Public Gold, dan berurusniaga dengan penuh yakin, insyaAllah.
Komitmen Public Gold
Saya yakin dengan penerimaan sijil patuh syariah fasa pertama ini telah menghilangkan perasaan ragu-ragu dalam kalangan umat Islam berkenaan urusan jual beli emas yang dilakukan oleh Public Gold.

Selain itu, ia sebagai tanda komitmen Public Gold kepada pelanggan-pelanggannya terutama umat Islam dalam menyediakan kaedah terbaik dalam perlaksanaan urusan jual beli emas berlandaskan syariah.  

Jadi, tiada ragu-ragu lagi bagi urusan jual beli emas di Public Gold.

Mohamad Shafiq Rohaizad
Bintulu

18 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan